Hati-Hati Menjaga Hati di Musim Cuti



Mungkin ramai antara kita tidak menyedari ada tujuh perkara yang boleh merosakkan hati. Apabila tujuh perkara ini diamalkan secara berterusan, sudah pasti hati yang rosak bertambah rosak.


Oleh yang demikian, tujuh perkara yang disebutkan ini nanti, dapat dijauhi dan tidak diamalkan kerana ia memberi kesan tidak baik kepada hati. Tujuh perkara itu adalah:

1-Pergaulan yang tidak berfaedah
2-Sentiasa berangan-angan
3-Tidak berharap kepada Allah
4-Terlalu banyak makan sehingga kenyang
5-Terlalu banyak tidur sehingga badan menjadi lemah
6-Memandang secara berlebihan
7-Kata-kata yang keterlaluan


Ketujuh-tujuh perkara ini apabila diamalkan sudah pasti ia merosakkan hati. Selepas ini diterangkan perkara-perkara yang boleh merosakkan hati serta punca-punca bagaimana ia boleh berlaku.


Hati yang sentiasa bersih dimudahkan perjalanannya menemui Allah. Berbanding dengan hati yang kotor, mereka melalui jalan yang sukar untuk menemuinya. Pelbagai dugaan dan rintangan ditemui sepanjang perjalanan menemui Allah.


Tujuh perkara ini, apabila terus diamalkan, ia menggelapkan suasana, mengkaburkan pandangan, dan menjejaskan pendengaran. Apabila keadaan ini berlaku, sudah tentu ia melemahkan seluruh anggota badan. Selain itu, kesihatan terganggu, kekuatan semakin berkurangan malahan apa sahaja yang dilakukan turut terjejas. Begitulah parahnya apabila sudah terjerumus kedalam tujuh perkara ini.


Mereka yang mengalami tujuh perkara ini dan langsung tidak menyedarinya, itu menunjukkan hati mereka sudah mati. Apabila ini berlaku, sukar bagi mereka merawat hati yang sudah mati itu. Mereka juga tidak dapat menikmati kebahagiaan dan kesempurnaan hidup melainkan sesudah mengenali Allah dan mencintainya. Apabila sudah dapat mengenal dan mencintainya, hati mereka tenang dan sentiasa ingin mengingatinya.


Ibnu Taimiyah pernah berkata, "Sesungguhnya di dunia ini terdapat syurga yang siapa tidak pernah memasukinya, tidak akan memasuki syurga akhirat." Maksudnya, di dalam dunia ini terdapat banyak nikmat. Sesiapa yang tidak dapat menikmati nikmat yang Allah berikan di dunia ini, sudah tentu mereka tidak dapat menikmati nikmat di syurga pada hari akhirat nanti. Itulah nikmat paling besar iaitu dalam merasakan kemanisan beriman dan beribadah kepada Allah.


Sehubungan itu, sesiapa yang mengamalkan perkara ini, segeralah meninggalkannya sekiranya tidak mahu hati menjadi rosak atau kotor. Ketujuh-tujuh perkara ini boleh menjadi batu penghalang memperoleh kesempurnaan hidup.


Itulah tujuh perkara yang boleh merosakkan hati. Sangat perlu untuk kita berhati-hati menjaga hati kita. Terutama dimusim cuti pengajian ini. Cabaran pergaulan dengan teman-teman yang suka kepada perkara tidak berfaedah perlu diuruskan dengan baik. Jagalah hati sahabat-sahabat, hormati mereka, tapi hati kita perlu tegas dengan prinsip diri.


Sentiasa berangan-angan dalam musim cuti. Kebiasaannya di awal cuti adalah waktu yang sangat kritikal untuk mendisiplinkan diri dan melatih diri tidak tunduk dengan suasana bangun, tidur dan makan semata-mata dimusim cuti ini. Rancanglah sesuatu untuk manfaat ummah. Musim peperiksaan sentiasa berlangsung saat demi saat. Oleh itu, sentiasalah menaruh harapan yang tinggi kepada Allah walaupun peperiksaan akhir semester dan akhir tahun sudah berakhir. Ujian kita belum selesai selagi kita belum menginjakkan kaki ke dalam syurga Allah.


Musim cuti inilah peluang bagi anak-anak siswa yang manja makan sekenyang-kenyangnya, tidur sepuas-puasnya sehingga badan menjadi lemah. Hilang ghairah kehidupan, hilang rasa kepuasan hidup yang sebenar. Jenguklah jiran-jiran dan saudara mara yang miskin papa kedana, bantulah mereka supaya kita masih merasakan kita tetap hamba. Kurangkanlah tidur supaya kita masih mampu mengingati didalam kubur nanti kita pasti dan pasti akan tidur buat selama-lamanya sebelum dibangkitkan untuk dibuat kira-kira segala amalan. Dunia ini medan beramal, akhirat nanti Allah akan kira, hitung, hisab dan buka balik semua akaun amalan kita. Saat itu...pasti kita rasa menjadi pasir dan debu lebih baik daripada menjadi manusia yang dipertanggungjawabkan. Allah, permudahkanlah hisabku dan seluruh kaum Muslimin.


Memandang secara berlebihan, pasti dibalas dengan penutupan dari Allah. Apa yang ditutup? ditutup dari melihat nikmat-nikmat akhirat yang langsung tidak mampu digambarkan akal manusia kenikmatannya. Allah, janganlah aku dibutakan di hari akhirat. Aku lebih rela buta mata didunia dengan hati yang celik daripada celik mata didunia dengan hati yang buta dengan memberikan keputusan akhirat nanti buta keseluruhannya. Itulah azab paling tidak mampu digambarkan akal. Paling tidak mampu ku ungkap dan coretkan.


Akhiran, kerana kata-kata yang keterlaluan juga menjadi salah satu jalan kerosakan hati. Saya merasakan cukuplah coretan kali ini setelah hampir 3 minggu saya mendiamkan diri. Di rumah, saya lebih semakin suka mendiamkan diri. Di dalam kelas saya lebih suka mendiamkan diri. Di dalam bilik sahaja saya masih agak terlalu girang. Saya takut kegirangan itu menjadi punca hati orang lain menjadi sakit. Oleh itu, lebih baik juga saya mendiamkan diri. Semoga Allah tidak mendiamkan saya dalam melihat kemungkaran yang mesti dicegah.


Terima kasih kerana membahagiakan hatiku yang sakit ini buat Muhammad bin Abu Bakar bin Aiyub al-Dimasyqi, guru kepada Ibnu Kathir di Dimashq, Syiria. Atau lebih terkenal dengan panggilan Ibnu Qayyim al-Jauziah. Kuhadiahkan lipatan putih bersalut bunga-bunga merah jambu ini buat seluruh ahli keluargaku. Terimalah 'Bahagiakan Hatimu', hadiah dari pesta medium ilmu. Pesta buku antarabangsa Kuala Lumpur 2011.


Jangan lupa, hati-hati menjaga hati. Nuruddin perlu ber'puasa' untuk ber'buka' di akhirat nanti. Akhirat yang tidak ada makna dan gunanya anak-anak, melainkan jika saya datang dengan hati yang sihat, selamat dan segar elok dari 7 punca kerosakan hati ini. Indahnya hari esok jika saya dibangkitkan dan dihimpunkan di Mahsyar, tengok tepi adanya Saidina Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, Uwais al-Qarny, Sultan Salahuddin al-Ayyub, Imam Shafie, Hanafi, Ahmad, Maliki, penyusun kitab ini (bahagiakan hatimu; Imam Ibnu Qayyim al-Jawzi) dan sekalian para pencinta Allah dan Rasulullah.



al-faqeer, pengharap Cahaya Allah

0 ความคิดเห็น: